May 09, 2007

Cerpen

Langit petang

part 02

Bagai dijanji ibu mertuaku tiba dari kampung petang kelmarin. Masuk hari ini sudah dua hari aku mengambil cuti kecemasan gara gara ada tetamu bertandang. Tidak sedap pula dibiarkan ibu mertuaku sendirian bersama pembantu remah serta anakku sahaja. Lalu ku khabarkan kepada majikanku, Encik Hamid untuk mengambil cuti selama 3 hari. Nasib menyebelahiku, buat masa ini tiada projek penting yang perlu ku awasi, cuti ku diterima. Namun suamiku seperti biasa, jika ibunya bertandang jarang sekali dia mengambil cuti. Sibuk benar dengan urusan pejabat. Aku akui, sebagai pegawai bank, pasti kerjanya bertimbun dan tidak betah pula untuk mengambil cuti kecemasan.

" Kamu ni kalau di rumah anak kamu ni bibik je yang jenguk. Mak tengok si Alif bukan main rapat dengan bibiknya tu. Apa kamu sanggup anak kamu tu asyik di bawah ketiak bibik dia aje?" lancar sahaja kata kata yang terkeluar dari mulut emak. Sambil memandang tepat ke arah ku, aku akui ada kala emak agak keras kata katanya.

" Tak de la mak...kalau balik kerja memang Lin yang uruskan si Alif ni. Cuma bila dia nak main saja dia akan cari bibiknya mak."

" Bukan kah elok kamu berhenti kerja, jaga anak kamu "

" Eh, tak boleh la mak..Lin rasa kalau Lin kerja,dapat tampung keluarga jugak mak"

" Apa yang kau susah. Si Sham tu bukan kah mampu. Kau aje yang gatal agaknya "

Bagai sebutir peluru tembus tepat ke dadaku. Ruang dapur itu kurasakan hangat tiba-tiba. Aku hanya mendiamkan diri.. Tidak mahu aku di katakan menderhaka kepada orang tua. Mungkin emak berniat baik, mahukan rumahtangga kami lebih sempurna. Namun ada kala ia seperti tidak logik. Aku disuruhnya berhenti kerja? Bukankah lebih elok jika pendapatan keluarga di lipat gandakan sekiranya aku bekerja.

" Tak perlulah kamu masak. Biar mak aje yang masak. Kamu kalau masak memang kembang tekak aku "

Emak pantas merampas pisau dari tanganku dan terus memotong sayur. Hendak tak hendak aku terpaksa merelakan. Memang sudah kebiasaan begitu, emak tidak pernah suka masakanku. Katanya aku anak orang bandar, tidak pandai hal dapur, tidak pandai masak. Ya, memang aku akui dahulunya aku tidak betah dengan kerja kerja dapur. Namun, setelah bernikah dengan Sham, aku merasakan ia menjadi tanggungjawabku untuk melakukan tugas itu. Sham sendiri sehingga hari ini memuji masakanku. Katanya aku sudah improve. Sudah boleh buka kedai makan. Entah omong kosong atau pujian yang ikhlas yang diberikan oleh Sham itu tidak pula kuketahui. Namun yang pasti suamiku sudah menerima air tanganku. Itu sudah cukup.

" Kalau si Sham kahwin dengan Rozita anak Pak Seman tu, pastinya si Rozita itu akan lekat di tumah, masak, mengemas, jaga anak sendiri. Tidak lah harapkan orang asing. Ini tidak, sudah lah anak dijaga orang asing, seluar dalam suami pun orang lain basuhkan. " emak menambah lagi.

Aku hanya tercegat di tepi sinki dapur sambil tanganku pantas membasuh pinggan yang ada. Namun telingaku cukup tajam menangkap setiap patah kata yang keluar dari mulut emak. Memang sejak dahulu lagi emak tidak begitu merestui hubungan kami. Sebetulnya emak sudah berkenan dengan anak Pak Seman, jiran di kampung sebelahnya. Gadis yang mempunyai nama Rozita itu katanya memiliki ciri ciri wanita ketimuran sejati. Pandai memasak dan mengemas. Namun, Sham tetap memilihku atas dasar cinta.

Aku masih ingat lagi. Pada hari persandinganku yang diadakan di rumah kedua orang tuaku, emak hadir bagai terpaksa. Tiada langsung senyum yang terukir di bibir emak. Masam mencuka wajahnya seperti ada yang tiak kena. Mulai dari saat itu aku sudah mula mengagak. Pasti ada sesuatu yang tidak kena. Namun aku diamkan sahaja. Kusangkakan emak akan berubah setelah mendapat tahu aku mengandung. Zuriatku ini merupakan cucu pertamanya.


Pasti seorang ibu kepinginkan cucu yang lahir dari zuriatnya jugak. Aku sangkakan itu bakal mengubah pendirian emak. Tetapi sayang, emak masih tidak berubah. Malah anakku Alif Naufal itu jugak tidak mendapat layanan yang seperti mana seorang nenek melayan cucunya. Emak terlalu dingin dengan Alif. Ada ketika aku berasa sebak melihat Alif yang tiak mendapat kasih sayang dari neneknya sendiri.

Bagai hilang kata-kata, aku hanya mampu membatukan diri. Tiada daya untuk aku melawan kata – kata emak. Sudahnya aku yang makan hati. Kutahan sahaja air mata yang hampir hendak berlinangan. Aku tidak mahu emak nampak akan perubahan air muka ku. Sementara itu, emak masih lagi sibuk memotong sayur. Sesekali Alif muncul di dapur kerana inginkan aku menemaninya. Rengekan Alif jugak merimaskan emak. Sudahnya Alif juga seperti takut dengan neneknya sendiri.

" Anak kamu ni asyik buat onar aje. Entah ikut siapa la agaknya. Keturunan aku tak ada pun yang nakal begini." tempik emak tatkala Alif sudah mula menangis.


Cepat cepat aku mendapak dan mendukung Alif lalu kupujuk dan bawa ke ruang tamu. Alif pasti sudah lapar. Aku segera membacuh susu Alif. Tanpa kusedar, air mataku jatuh juga.


bersambung


@ Hakcipta terpelihara by ainamyza

Cerpen

Langit Petang

Part 01

Perkenalan singkat itu sangat bermakna. Ia terus membunga dan berkembang, lalu akhirnya kami diijab kabulkan dengan suasana yang meriah. Maklumlah aku merupakan anak bongsu dalam keluarga. Semestinya mommy dan daddy mengimpikan perkahwinan anak bongsunya yang satu ini berjalan dengan lancar. Lancar selancarnya. Kami sangat bahagia dan bertambah serinya apabila dikurniakan seorang cahaya mata , Alif Naufal. Kini Alif sudah masuk 3 tahun. Mulut pun semakin petah berbicara. Ligatnya pun bukan kepalang, kadang kadang tak larat rasanya apabila seharian bersama Alif.

Tapi tidak mengapa, dia lah yang menyinari hidupku. Tanpa Alif aku rasakan dunia ini kosong. Tiada tujuan dan aku sanggup bertukar nyawa sekalipun. Maha suci Tuhan, Alif bagaikan pelengkap sinar rumahtangga ku. Matanya yang bundar itu seakan memberitahuku agar aku terus tabah menghadapi hari hari mendatang. Sinar mata dan gelak tawanya itu sesekali ku jadikan azimat agar aku sentiasa bersyukur atas pemberian Tuhan.

” Menung apa tu? Ingat boyfriend yer??” Terpacul kata kata itu dari bibir suamiku, Sham. Lamunanku terhenti seketika. Bila masa pulak munculnya dia?

” Tak ada apa apa la bang..abang dah makan? Nanti i siapkan kalau belum makan. Kita makan sama..”

Perlahan suamiku menghampiri. Tubuhnya yang sasa dan dadanya yang bidang di rapatkan ke tubuhku. Terasa bahangnya. Perlahan dia menanggalkan tali leher, terus merangkul pinggangku kemas. Aku seakan lemas namun kurelakan sahaja.

” Jom kita mandi sekali..nak tak?” seakan berbisik suara itu. Lembut tetapi mesejnya sampai dengan tepat.

Aku hanya tersenyum. Entah apa mimpinya hendak mengajak aku beromantis pulak petang petang begini. Sambil tersenyum lagi Sham menarik lenganku. Aku megikut sahaja. Sham memang begitu. Tindak tanduknya ada kala di luar jangkaan ku. Ada sahaja kejutan yang dilakukannya. Itulah kelebihannya. Sham juga pandai membaca gerak hatiku. Jika ada yang tidak kena, tentu dia pantas mahu mengorek rahsia. Tiba – tiba kedengaran telefon bimbitnya berdering. Siapa pulak?

” Hello..ya walaikumsalam mak..aha..sihat..oh yeke? Aha..ok takpe, nanti Sham beritahu Lin..ok..walaikumsalam” panggilan dimatikan. Sepantas itu Sham melepaskan tangannya.

” Mak nak datang minggu ni.”

Aku dah agak. Pasti itulah yang bakal kudengar. Hatiku secara tiba tiba jadi tak sedap.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~ ........ ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

bersambung

@ Hakcipta terpelihara by ainamyza


May 03, 2007

Thursday blues...

Baru masuk ofis lepas cuti lama...feel bored coz need to refresh my mind....here are updates on my daughter Myza, buzy drawing her cartoon.